Monday, August 9, 2010

Volkswagen Beetle, Walaupon Tua tapi bergaya

MEMILIKI jentera yang tidak lapuk ditelan zaman terutama Volkswagen Beetle pasti menjadi kebanggaan kepada pemiliknya.

Apatah lagi bilangan kenderaan itu semakin berkurangan membuatkan nilai klasiknya lebih istimewa.

Tidak hairanlah apabila jentera berkenaan yang kian dimamah usia itu terus digilai peminat kenderaan klasik di negara ini.

Malah, jentera itu boleh diibaratkan 'laris' seperti pisang goreng panas jika ada yang menawarkan untuk dijual dan jarang dilihat ia tersadai menjadi besi buruk, reput atau diselimuti semak.

Volkswagen pada asalnya dikeluarkan di Wolfsburg, Jerman dengan enjin berbeza daripada kenderaan lain ketika itu kerana tidak menggunakan air sebagai penyejuk enjin.

Mengimbau nostalgianya, ia dicipta Ferdinand Porsche, individu sama yang menghasilkan kereta mewah berprestasi tinggi terhebat di dunia iaitu Porsche.

Kewujudan Beetle atau nama sebenarnya, Volkswagen Type 1 adalah kereta ekonomi yang dihasilkan pengeluar kereta Jerman, Volkswagen dari 1938 hingga 2003. Selain Type 1, ia turut dikenali dengan nama 1200, 1300 atau 1500 di Eropah merujuk kepada saiz enjinnya dalam sentimeter padu. Pada 1933, Adolf Hitler menghantar lakaran kepada Porsche bagi cadangan model 'kereta rakyat,' sebuah kereta asas yang mampu mengangkut dua penumpang dewasa dan tiga kanak-kanak pada kelajuan 100 kilometer sejam (km/j). Ketika Perang Dunia Kedua melanda, tiga model kenderaan prototaip terbabit hilang manakala yang terakhir ditemui pada 1945 sebelum serangan bom di Stuttgart, Jerman yang melenyapkan sama sekali model asal 'kereta rakyat' berkenaan. Selepas 1967, barulah Volkswagen dilahirkan semula dengan menggunakan nama 'Beetle' dan 'Bug' secara rasmi dan diterima ramai dalam masa yang singkat di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

Jadi tidak hairanlah bagi peminat setia kenderaan itu termasuk Kelab Volkswagen Klasik Selangor (KVKS), aktif mengadakan perjumpaan dan konvoi setiap hujung minggu.

Ahlinya yang mencecah 230 orang itu turut melakukan pelbagai aktiviti amal seperti perarakan Volkswagen Beetle meraikan pasangan raja sehari sekali gus memeriahkan majlis perkahwinan.

Setiausahanya, Indera Shahril Mohd Shahid berkata, kelab berkenaan sudah tiga tahun bertapak membabitkan jentera Volkswagen Beetle atau Kombi yang sudah diubah suai.

"Kami aktif melakukan pelbagai aktiviti termasuk berkonvoi ke selatan tanah air termasuk Johor Bahru dan turut mengadakan perjumpaan setiap minggu.

"Perjumpaan seperti ini banyak manfaat kepada peserta kerana dapat mengeratkan silaturahim antara ahli baru dan lama serta boleh berkongsi pengalaman mengendalikan atau membaiki jentera masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum ahlinya melakukan perarakan Volkswagen untuk dua pasangan mempelai iaitu Mohd Firdaus Johari dan Siti Nur Amira Baharudin di majlis perkahwinan mereka, baru-baru ini.


Selain golongan lelaki, wanita turut meminati kereta klasik ini kerana mempunyai keunikan tersendiri.

Ini berikutan penuntut Jurusan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nur Azillah Ismail, 22, turut memiliki jentera itu yang dibeli bapanya pada tahun lalu.



No comments:

Post a Comment